Pages

Selamat Menjalani Ibadah Puasa 1438H/ 2017

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Google


Sudah Ramadan yang ke-9 pada hari ini. Pantas sungguh masa berlalu. Ramadan bulan yang mulia. Bulan dimana rahmat Allah mencurah-curah dan pahala yang berganda untuk hamba-hambaNya dengan setiap amalan kebaikan yang dilakukan.

Aktiviti menjahit dan menulis dikurangkan pada bulan ini. Lebih kepada mengemaskini saja supaya lebih mesra pembaca. Mahu mencari ketenangan. Gitu.

Kebetulan kerja-kerja di pejapat juga datang seperti tsunami dan semuanya perlu disiapkan secepat mungkin. Terpaksa korbankan hujung minggu yang tenang nyaman ini untuk membuat kerja-kerja pejabat di rumah.

Cuba belajar untuk membahagikan masa dengan komitmen kerja, tanggunjawab sebagai suri rumah serta hobi waktu lapang yang semakin hari mahu belajar dan belajar sesuatu yang baru. Semoga dipermudahkan.

Selamat menjalani ibadah puasa kepada pembaca semua. Diharapkan segala amalan-amalan kebaikan kita diterima oleh Allah s.w.t hendaknya.  Aamin.



Ulasan Kelas Asas Blog Dan Penulisan: Apa Manfaat Yang Saya Perolehi?

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Google


Ini entri yang ke-44, bermakna ini adalah entri terakhir saya dalam Kelas Asas Blog Dan Penulisan sesi Mei bersama Puan Masayu Ahmad selaku pengasas Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR).

Ini adalah kali kedua saya berada di kelas ini. Sebelum ini saya bersama Puan Azura Abdullah, salah seorang pengurus online ABDR. Kali pertama saya mengambil masa sangat lama, hampir setahun juga untuk menyiapkan 44 entri disebabkan saya tidak konsisten dan tidak fokus dengan tugasan. Jadi saya masuk ke kelas ini kali kedua untuk memperbaiki kelemahan saya.

Entri terakhir ini adalah ulasan berkenaan manfaat yang saya perolehi dengan mengikuti kelas ini.

Antaranya;

1. Membiasakan diri menulis catatan harian dengan menulis secara spontan. Membuat catatan apa yang terlintas di fikiran tanpa terlalu memikir ayat yang sesuai atau ayat yang sedap dibaca.

2. Belajar menjadi peka dengan keadaan sekeliling walaupun sekecil-kecil hal. Setiap peristiwa yang berlaku boleh menjadi idea untuk menulis dan menukarkan ia kepada aura positif. Sebagai contoh, hari itu saya catitkan di dalam catatan harian, saya sangat penat mengemas rumah dan apa aktiviti mengemas telah saya lakukan. Dari situ timbul idea untuk menulis entri berkenaan pentingnya menjaga kebersihan, tip rumah sentiasa kemas serta banyak lagi.

3. Belajar menulis dengan laju. Cabaran menyiapkan 44 entri selama 20 hari memaksa diri untuk berfikir, menulis supaya setiap hari ada entri terkini di blog. Walaupun kadang-kadang saya terbabas disebabkan kesibukan kerja. Tapi untuk menyiapkan entri di dalam masa yang ditetapkan memaksa saya berusaha mencari idea untuk menulis. Secara tidak langsung dalam satu hari saya belajar untuk menulis sehingga lima entri.

4. Membuang sifat 'perfectionist'. Aku mahu sempurna. Tetapi manusia tidak sempurna. Cikgu ajar tulis dulu dan terus publish. Kemudian baru edit mana yang perlu. Jika tunggu sempurna, mahu ayat sedap dibaca sampai bila entri itu tidak akan dikongsikan. Sudahnya ia terperap saja di dalam draft. Macam cikgu cakap nama pun kelas asas penulisan kita belajar asas. Bukan terus menjadi pakar.

5. Belajar menulis dengan ejaan penuh. Menghormati bahasa sendiri. Ejaan penuh memudahkan pembaca untuk membaca dan faham apa yang cuba disampaikan.


Ilmu menulis sangat berguna bagi saya yang baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan ini, yang sebelum ini tidak minat menulis pun sebenarnya. Segalanya berubah apabila saya mula mempunyai blog untuk berkongsi minat saya dengan pembaca. Mahu atau tidak saya perlu menulis. Dari situ saya berkenalan dengan Akademi Bekerja Dari Rumah ini.

Selain itu, saya juga belajar bagaimana mempunyai blog yang mesra pembaca dan boleh menarik orang untuk suka membaca di blog kita. Bagaimana mahu membina jenama diri di alam maya dengan memfokuskan minat, kemahiran dan pengalaman kita. Belajar bagaimana menukar pembaca kepada pembeli, secara tidak langsung dapat menjadikan blog sebagai sumber pendapatan. Serta berkenalan dengan jemaah-jemaah ABDR yang lain dengan kemahiran masing-masing yang saya boleh belajar dari mereka.

Paling seronok kelas ini dijalankan 100% secara online dan masa adalah fleksibel. Sangat sesuai bagi saya yang masih bekerja.

Akhir kata saya mengucapkan berbanyak terima kasih pada Puan Masayu Ahmad. Terima kasih atas segala ilmu yang diberikan. Saya doakan semoga Allah memberi kesihatan yang baik pada Puan dan dipermudahkan urusan untuk terus mencurah ilmu pada wanita di luar sana seperti saya yang mahu kembali menjadi suri rumah dan berbakti pada keluarga, menjadikan rumahku itu syurgaku. Serta diberikan kekuatan pada diri ini untuk terus menulis dan berkongsi ilmu. Aamin.



Katalog Dari Missouri Star Quilt Company (MSQC)

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Ini kali kedua saya terima katalog dari Missouri Star Quilt Company (MSQC). Memang sangat-sangat mencairkan hati seorang penjahit seperti saya ini dengan kain-kainnya yang pelbagai corak. Bertahan, kuatkan semangat untuk menempuh setiap helaian majalah ini. Jika kedainya di Malaysia, tamat sudah riwayat gaji saya tiap-tiap bulan pergi sini sahaja.

Belian untuk $100 kos penghantarannya adalah $25. Jika ditukarkan ke Ringgit Malaysia lebih kurang RM430 tambah kos penghantaran RM108. Jadi jumlahnya RM538. Terbeliak mata tengok. Selalu beli kain setiap bulan tak lebih pun dari RM100. Harap satu hari nanti, mana tahu ada rezeki mampu membelinya.

Dalam majalah ini ada banyak corak kain dan peralatan quilting yang dijual. Serta ada contoh-contoh corak quilting yang telah dihasilkan dari kain-kain ini ditunjukkan di dalam katalog. Setiap kain dan peralatan disertakan sekali kod supaya mudah untuk membuat pembelian secara online. Rambang mata dibuatnya.

Oh ya, bagi yang belum mengetahui mengenai Missouri Star Quilt Company (MSQC) ini, boleh klik di sini ya. Mereka juga mempunyai laman youtube penuh dengan tutorial yang sangat-sangat mudah untuk diikuti. Mahu tahu berkenaan katalog ini boleh baca di sini.

Baiklah. Selamat menjahit semua. Hendak sambung semula membelek-belek katalog ini. Tidak mampu hendak beli, jadi sumber inspirasi pun boleh.



Mengumpul Setem, Hobi Atau Sekadar Suka-Suka

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah


Macam tidak percaya sebab ada album setem sendiri. Sepertinya saya ini seorang pengumpul setem yang tegar. Walhal tidak pun.

Bagaimana saya mempunyai album setem sendiri ini, semuanya bermula semasa saya di sekolah menengah dan tinggal di asrama. Semasa di asrama dalam satu bilik atau dorm ada 14 orang semuanya. Kebanyakkan datang dari daerah-daerah yang lain walaupun satu negeri. 

Waktu itu tiada telefon apatah lagi nak berhubung melalui whatsapp, facebook, wechat dan seangkatan dengannya. Jadi setiap kali tiba hari raya, sebelum balik bercuti mulalah kami sibuk minta alamat masing-masing sebab teruja nak menghantar kad raya.

Setiap kali menerima kad raya sampulnya saya tidak buang. Jadi bila dah banyak kumpul baru perasan kewujudan setem di situ. Baru perasan cantik pula setem-setem ini sebab ia bukan setem biasa kita nampak yang berharga 10 sen atau 20 sen itu. Tapi yang ini ia unik.


Masa itu timbul rasa sayang nak buang setem-setem tersebut. Di situlah bermulanya saya membeli album untuk menyimpan setem ini supaya dalam keadaan elok. Sayang sebab setiap satu membawa seribu kenangan.

Selain mengambil setem dari sampul kad raya, setem-setem itu juga saya perolehi dari surat-surat rakan sekolah lama yang  rajin berutus surat semasa saya di asrama.

Setelah tamat persekolah tamat jugalah aktiviti saya mengumpul setem.

Tapi aktiviti itu tidak terkubur begitu saja. Selepas masuk alam pekerjaan, di pejabat tempat saya bekerja hampir setiap hari menerima surat. Selalunya sampul surat tersebut akan di guna semula. Jadi yang mana mempunyai setem-setem yang cantik saya akan minta izin dari bahagian pentadbiran untuk ambilnya. Kadang-kadang tak perlu saya minta dari mereka tapi mereka sendiri yang datang beri pada saya kalau ada setem-setem yang menarik.

Di Angsana Mall, Ipoh, setiap tahun akan ada pameran wang lama dan setem. Ini antara setem-setem yang saya beli apabila kebetulan berada di pasaraya tersebut semasa pameran berlangsung.






Mengumpul setem ini secara tak langsung memberi banyak pengetahuan apabila dapat mempelajari mercu tanda sesebuah tempat itu, peristiwa dan tarikh penting yang berlaku serta pemimpin-pemimpin sesebuah negara.

Selain dari aktiviti mengisi masa lapang ia juga dapat mengenali teman baru dengan bertukar-tukar setem bagi yang aktif ataupun pegumpul tegar.

Mengumpul setem, hobi atau suka-suka. Pada mulanya saya suka-suka saja dan sekarang seolah-olah ia menjadi menjadi satu aktiviti yang bila nampak setem yang menarik saya akan simpan. Keliru. Hobi mungkin.



Hasil Projek Jahitan Alas Gelas Dari Perca-Perca Kain

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah


Aktiviti hujung minggu hari itu, semasa mengemas almari kain tanpa sedar banyak lebihan-lebihan kain yang saya telah kumpul. Ini sebabnya masa menjahit rasa sayang nak dibuang walaupun hanya tinggal perca-perca kecil saja.

Jadi daripada simpan sahaja, rasa macam nak buat sesuatu dengan kain-kain ini. Hasilnya dapatlah dua keping alas gelas yang bersaiz 5 inci x 5 inci. Cuma cantum-cantumkan saja perca-perca kain tersebut dan jahit. Ia dipanggil jahitan patchwork. Tidak makan masa yang lama untuk hasilkannya.




Nak buat banyak tapi masa tidak mengizinkan. Walaupun hanya perca-perca kecil saja tetapi ia dapat hasilkan sesuatu yang unik dan menarik darinya.



Setting Jahitan Tepi Halus Mesin Jahit Brother 404D

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Ini pula adalah setting untuk mendapatkan jahitan tepi halus. Selalunya diunakan untuk membuat kelim pada tudung. Menggunakan 1 jarum (jarum sebelah kanan) dan 3 benang.


Setting: 6, 6, 6
i) Tulisan berwarna pink mewakili jarum sebelah kanan
ii) Tulisan berwarna hijau setting untuk upper looper, iii) Tulisan berwarna biru setting untuk lower looper


Stitch length: R



Stitch width: 5R




Differential feed adjustment: Pusing ke 1.0



Keluarkan stitch finger dari mesin jahit



Stitch finger yang telah dikeluarkan.



Kain yang bewarna pink adalah hasil jahitan tepi halus.



Untuk setting jahitan tepi biasa/ kasar seperti kain yang berwarna coklat di atas boleh boleh rujuk di entri Setting Jahitan Tepi Biasa/ Kasar Mesin Jahit Brother 404D ini.



Setting Jahitan Tepi Biasa/ Kasar Mesin Jahit Brother 404D

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Minggu lepas saya menghantar mesin jahit tepi ke kedai untuk diservis. Semalam sudah siap. Sementara menunggu bil keluar, pemilik kedai di situ telah berkongsi cara nak setting jahitan tepi kasar dan halus untuk mesin jahit ini.

Ini adalah setting untuk jahitan tepi biasa/ kasar. Menggunakan 1 jarum (jarum di sebelah kanan) dan 3 benang.


Setting: 4, 4, 4
i) Tulisan berwarna pink mewakili jarum sebelah kanan
ii) Tulisan berwarna hijau mewakili upper looper, iii) Tulisan berwarna biru mewakili lower looper



Setting untuk stitch length: 3



Setting untuk width: 5 1/2



Setting untuk differential feed adjustment: 1.0



Kain yang berwarna coklat adalah hasil jahitan tepi biasa/ kasar



Untuk setting jahitan tepi halus seperti kain yang berwarna pink di atas boleh rujuk di entri Setting Jahitan Tepi Halus Mesin Jahit Brother 404D ini.