Pages

Sarung Bantal Dari Kain Panel

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Masih sempat lagi untuk saya ucapkan kepada anda semua yang beragama Islam, selamat menyambut Hari Raya Aidiladha yang telah disambut pada 24hb. September yang lepas bersamaan 10 Zulhijjah 1436 Hijrah. Selamat menjalani ibadah korban. Semoga setiap pengorbanan yang kita lakukan disuburkan dengan penuh keikhlasan kerana Allah S.W.T. In shaa Allah.

Minggu yang agak sibuk. Walaupun mempunyai cuti yang panjang, saya tidak sempat langsung menyibukkan diri dengan aktiviti menjahit. Tapi sempat juga curi-curi masa untuk menulis entri pada hari ini.

Bahagian hadapan sarung bantal

Bahagian belakang sarung bantal

Gambar-gambar di atas adalah hasil projek jahitan saya  beberapa bulan yang lepas.

Sarung bantal dari lebihan kain panel yang ada. Kebetulan ada banyak lebihan kain panel, rasa sayang pula kalau tidak digunakan. Jadi saya terfikir untuk cuba menjahit sarung bantal.

Sangat mudah rupanya menjahit sarung bantal ini. Jika menjahit dengan penuh tumpuan, tidak sampai satu jam sahaja sudah boleh siap. Sarung bantal ini bersaiz 16 inci x 16 inci dan muat-muat disarungkan pada bantal hiasan yang saya beli di tesco.

Bahagian belakangnya pula saya menggunakan kain linen berwarna coklat untuk dipadankan dengan kain panel di bahagian hadapan. Sarung bantal ini hanya perlu disarungkan sahaja, tidak ada butang ataupun menggunakan zip, sebab itu ia mudah dijahit dan tidak mengambil masa yang lama kerana ia ringkas.

Bantal ini akan menjadi teman saya di bilik menjahit. Gambarnya pun sudah menunjukkan gambar mesin jahit. Sesuai sangatlah.

www.etsy.com
Kain Panel

Kain panel ini adalah dari jenis linen. Satu panel bersaiz 35 inci lebar x 55 inci panjang dan ada enam gambar yang berlainan yang terdapat padanya. Di antara salah satunya yang saya gunakan untuk projek jahitan sarung bantal ini. 

Gambar-gambar yang selebihnya juga saya sudah gunakan untuk projek jahitan yang lain. In shaa Allah jika diberi kelapangan waktu saya akan kongsikan di blog ini.

Selamat menjahit dan selamat berhujung minggu.



Pengalaman Membeli Mesin Jahit


Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Bila sudah ada minat menjahit, mesti kena ada mesin jahit. Betul tak?.

Tapi ...

"Mesin jahit jenis apa nak beli?"
"Mesin jahit mana yang sesuai bagi yang tak pernah menjahit?"
"Mesti mahal, cukup ke bajet?"
"Tak pernah langsung pegang mesin jahit ini, macam mana nak guna nanti?"

Soalan-soalan inilah yang menganggu fikiran saya masa mula-mula hendak membeli mesin jahit dulu.

Sebagai permulaan dengan tahap keyakinan menjahit yang masih rendah, saya cuba membeli mesin jahit yang murah dahulu. Tujuannya hendak belajar dahulu serba sedikit komponen asas mesin jahit.

Jadi saya pun membeli mesin jahit Global GSM-338. Harganya saya tidak berapa ingat tapi lebih kurang bawah dari RM100 dan saya belinya di Tesco. Saiznya kecil sahaja dan ringan. Saya belajar cara menggunakannya melalui internet.

http://www.global96.com
Mesin Jahit Global GSM-338

Melalui mesin jahit ini, saya dapat belajar cara-cara memasukkan benang pada jarum serta pada sekoci dan juga cara mematikan jahitan. Tapi mesin jahit ini hanya ada satu jenis jahitan sahaja iaitu jahitan lurus. Sesuailah untuk orang yang baru belajar menggunakan mesin jahit.

Kemudian bila sudah seronok menjahit, ada hasil dan sudah tahu cara menggunakan mesin jahit, keyakinan mula timbul untuk guna mesin jahit yang lebih canggih sedikit.

Saya pun mula membuat carian di internet dan akhirnya saya terjumpa dengan laman web LSN Sewing Machines. Saya sangat berpuas hati dengan layanan khidmat pelanggan yang diberikan. Saya selesa bertanya itu dan ini dan setiap pertanyaan saya dijawab dengan baik. Sangat membantu.

Akhirnya, saya membeli dua buah mesin jahit iaitu mesin jahit Brother NV50 dan mesin jahit tepi Brother 3034D. Kedua-duanya adalah jenis mudah alih (portable). Alhamdulillah, sudah lebih kurang 3 tahun saya menggunakannya, ia tidak memberi sebarang masalah.

Walaupun pada waktu itu, saya telah ditawarkan oleh jurujual di situ supaya membeli mesin jahit Brother NV950, kerana fungsinya sama seperti Brother NV-50 cuma ia mempunyai kelebihan jahit sulam. Disebabkan faktor harga yang melebihi bajet, saya tidak membelinya.

Saya memilih mesin jahit jenis mudah alih (portable) kerana niat saya membeli mesin jahit adalah sekadar memenuhi hobi menjahit. Disebabkan ia mudah alih jadi sesuai untuk saya membawanya ke mana-mana, lebih-lebih lagi jika pulang ke kampung. Mesin jahit ini juga mempunyai pelbagai jenis jahitan tidak hanya pada jahitan lurus sahaja, sangat sesuai untuk projek jahitan kreatif.

Tapi jika berniat membeli mesin jahit untuk menjana pendapatan, seperti mengambil tempahan menjahit dalam kadar yang banyak, lebih baik menggunakan mesin jahit jenis industri (high speed) kerana ia lebih laju dan menjimatkan masa. Tetapi ia hanya mempunyai jahitan lurus sahaja.

www.euronics.lv
Mesin Jahit Brother NV50




www.hobbysew.com.au
Mesin Jahit Tepi Brother 3034D

Saya membeli mesin jahit ini secara online dan pergi ke kedainya yang terletak di Bandar Damai Perdana, Cheras untuk mengambil sendiri mesin jahit ini, walaupun pihak LSN menyediakan perkhidmatan penghantaran. Semasa berada di kedai tersebut, saya telah diajar serba sedikit cara menggunakan kedua-dua mesin jahit ini. 

Tapi jangan risau, bagi yang baru menggunakan mesin jahit, ada disediakan buku manual yang disertakan sekali pada setiap pembelian mesin jahit. Dari situ ada penerangan yang jelas bagaimana cara-cara menggunakan mesin jahit.

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Terdapat banyak jenama dan fungsi mesin jahit yang ada di pasaran sekarang. Ada yang jenis mudah alih, ada mesin jahit jenis industri, mesin jahit sulam dan banyak lagi. Harganya juga berbeza-beza. Perlu bijak memilih. Sesetengahnya mempunyai fungsi yang sama tapi harga yang berlainan.

Kalau hendak membeli mesin jahit buat pertama kali, lebih baik pergi sendiri ke kedai untuk mendapat penerangan yang lebih lanjut dari jurujual. Jika tiada masa untuk keluar, jangan risau. Di zaman serba canggih ini semuanya di hujung jari. Di Internet juga kita boleh mendapat maklumat lebih pantas mengenainya di laman web yang menjual peralatan menjahit, seperti mana yang saya lakukan sebelum ini.

Pertama sekali, sebelum membeli pastikan dulu apa tujuan kita membeli beli mesin jahit ini. Sekadar memenuhi hobi menjahit, membaiki pakaian atau berniat untuk menjana pendapatan dengan menjahit. Ini penting supaya kita memilih mesin jahit yang sesuai dengan harga yang berpatutan.

Dan yang paling penting, jika berpeluang untuk belajar menjahit pergi ke kelas tersebut. Di situ kita boleh belajar menggunakan mesin jahit serta peralatannya. Sekurang-kurangnya kita telah diberi pendedahan awal sebelum membeli mesin jahit sendiri. Boleh juga minta pendapat dari guru-guru menjahit di situ kerana mereka sudah berpengalaman. Ini memudahkan kita untuk membuat pilihan nanti.

Ini yang mampu saya kongsikan. Saya bukanlah seorang yang pakar atau tukang jahit yang berpengalaman untuk bercerita dengan lebih terperinci mengenai mesin jahit. Semoga perkongsian saya ini sedikit sebanyak dapat membantu.

Panjang pula entri saya kali ini ya. Jika mampu membacanya sehingga habis, ini menunjukkan semangat belajar menjahit yang tinggi.

Kalau macam itu, jangan bertangguh lagi. Nanti rugi sahaja bila minat menjahit terkubur begitu sahaja. Mana tahu dengan menjahit boleh menjana pendapatan secara tetap dan mungkin juga secara sampingan.

Semoga berjaya dan selamat menjahit !.



Sarung Kotak Tisu Polka Dot

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah


Selamat berhujung minggu kepada anda, pembaca sekalian. Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini.

Semoga ilmu yang dikongsikan bermanfaat dan memberi inspirasi untuk menjahit.


Gambar-gambar yang banyak ini adalah sarung kotak tisu polka dot yang saya telah saya jahit.

Kalau diikutkan cara membuat dan menjahitnya mudah sahaja. Tapi saya mengambil masa selama satu hari menjahitnya berulang-ulang kali untuk mendapatkan ukuran yang sesuai. Alhamdulillah akhirnya menjadi juga. 

Memang memenatkan. Tapi kesilapan itu mengajar saya supaya lebih berhati-hati selepas ini dan jangan cepat berputus asa. Cuba sehingga berjaya.

Menjahit ini tidak boleh dibuat dalam keadaan tergopoh-gapah. Menjahit kena berada dalam keadaan yang tenang, barulah boleh dilakukan dengan baik. Kesilapan dapat dikurangkan dan kain pun tidak membazir.


Lace dan butang yang terdapat pada bahagian atas bertujuan untuk mengelakkan sarung kotak tisu ini dari terbuka.

Kain yang saya gunakan pula adalah kain linen.


Sarung kotak tisu ini jika dihasilkan sendiri dapat menaikkan seri sesuatu ruang rumah, jika kita pandai menggunakan corak kain yang sesuai. Ia akan menjadi perhiasan dalam rumah yang menarik dan menonjol.

Baiklah. Itu sahaja untuk hari ini. Jumpa lagi.

Selamat menjahit dan berkraf !



Skirt Kedut

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah



Alhamdulillah.

Siap juga akhirnya. Skirt kedut yang telah saya hasilkan beberapa hari ini.

Skirt ini sangat mudah untuk dijahit dan tidak memakan masa. Hanya setengah jam boleh siap. Ia sesuai untuk kegunaan santai dan juga sebagai pakaian harian di rumah.


Lepas ini bolehlah jahit banyak-banyak skirt untuk diri sendiri. Tidak perlu pening-pening kepala nak membeli.

Lebih-lebih lagi jenis macam saya. Setiap kali beli skirt mesti kena tetas dahulu, kecilkan saiz dan selepas itu kena pendekkan sedikit kemudian jahit semula,  baru boleh pakai. 

Maklumlah, saiz badan yang tidak berapa nak supermodel. 



Cara Membaca Ukuran Inci

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Hari ini saya nak berkongsi lebih-lebih lagi kepada yang baru nak belajar menjahit bagaimana cara membaca ukuran dalam inci.

Mari kita mulakan.

nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Pembaris inci di atas dan di bawah pula adalah pembaris metrik

Pertama sekali cuba lihat perbezaan diatas, diantara pembaris metrik yang biasa kita gunakan dengan pembaris dalam ukuran inci.

Pembaris metrik mempunyai 10 senggat (garisan) manakala pembaris inci pula mempunyai 8 senggat.

Sekarang kita lihat pada pembaris inci, setiap satu senggat mewakili setiap nombor seperti yang dinyatakan di bawah.

Bacaan bermula dengan senggat pertama iaitu 0 kemudian diikuti seterusnya dengan,
1/8 inci
2/8 inci = 1/4 inci (suku inci)
3/8 inci
4/8 inci = 1/2 inci (setengah inci)
5/8 inci
6/8 inci = 3/4 inci (tiga suku inci)
7/8 inci
8/8 inci = 1 inci

Kemudian bacaan disambung dengan,

1  1/8 inci
1  2/8 inci = 1  1/4 inci (satu suku inci)
1  3/8 inci
1  4/8 inci = 1  1/2 inci (satu setengah inci)
1  5/8 inci
1  6/8 inci = 1  3/4 inci (satu tiga suku inci)
1  7/8 inci
1  8/8 inci = 2 inci

2  1/8 inci
2/8 inci = 2  1/4 inci (dua suku inci)
2  3/8 inci
4/8 inci = 2  1/2 inci (dua setengah inci)
2  5/8 inci
6/8 inci = 2  3/4 inci (dua tiga suku inci)
2  7/8 inci
2  8/8 inci = 3 inci

dan seterusnya.
*Tulisan bewarna merah menandakan ukuran ini kerap digunakan sewaktu menjahit.

Ini beberapa contoh gambar ukuran yang diambil supaya lebih jelas dan mudah untuk faham.

 nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Ukuran kain adalah 3/4 inci

nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Ukuran kain adalah 1  1/4 inci

nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Ukuran kain adalah 1  1/2 inci

nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Ukuran kain adalah 2  1/8 inci

nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Ukuran kain adalah 3  5/8 inci

nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Ukuran kain adalah 3  7/8 inci

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Kemudian saya nak kongsikan cara bacaan apabila terdapat pengiraan. Kadang-kadang kita perlu membuat beberapa pengiraan untuk dapatkan sesuatu ukuran.

Sebagai contoh;
Apabila kita ingin membuat pola, ukuran lilit pinggang perlu dibahagi dengan 4.
Jika ukuran lilit pinggang kita 28 inci, jadi 28 perlu dibahagi dengan 4 jawapannya adalah 7 inci. Mudahkan?.

Tetapi jika ukuran lilit  pinggang kita seperti 25  1/2 atau 27  1/2 inci, bagaimana pula kita nak mengiranya. Kerana 25 dan 27 tiada dalam sifir 4. Tambahan lagi ada 1/2 inci pula dibelakang.

Sebelum itu, kita lihat dulu pengiraan di bawah.

1/8 inci = 0.125 inci
2/8 inci = 1/4 inci = 0.25 inci
3/8 inci = 0.375 inci
4/8 inci = 1/2 inci = 0.5 inci
5/8 inci = 0.625 inci
6/8 inci = 3/4 inci = 0.75 inci
7/8 inci = 0.875 inci
8/8 inci = 1 inci

*1/8 sama juga dengan 1 dibahagi 8 dapatlah jawapannya 0.125 dan sama juga dengan yang lain.

Kita kembali semula bagaimana hendak membuat pengiraan pinggang tadi. Pengiraannya begini;

25  1/2 inci dibahagi dengan 4;
25  1/2 inci = 1/2 inci sama juga dengan 0.5 inci (lihat pengiraan di atas).
Jadi, 25 inci + 0.5 inci = 25.5 inci.
Kemudian, 25.5 inci dibahagi dengan 4, jawapannya ialah 6.375 inci.
6.375 ditukarkan kembali kepada pecahan dengan;
0.375 sama juga dengan 3/8 inci (lihat pengiraan di atas).
Jadi, 6.375 inci = 6  3/8 inci.

25  1/2 inci dibahagi dengan 4 jawapannya ialah 6  3/8 inci.
27  1/2 inci dibahagi dengan 4 jawapannya ialah 6  7/8 inci.

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Ada lagi satu cara, kalau tidak mahu pening-pening kepala mengira. Kadang-kadang saya gunakan cara ini bila tiba-tiba rasa otak dah tepu tengok nombor-nombor ini. Saya belajar cara ini dari guru menjahit saya sewaktu saya pergi kelas menjahit dulu.

Sebagai contoh, 25  1/2 inci dibahagi dengan 4;
Ambil pita pengukur bukan pembaris ya. Ambil ukuran 25  1/2 inci dan lipatkan pita pengukur tersebut kepada 2 bahagian. Seperti dalam gambar di bawah.

 nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Pita pengukur dilipat kepada dua bahagian


Selepas dilipat dua akan dapat ukuran 12  3/4 inci. Kemudian dari ukuran 12  3/4 inci lipatkan lagi kepada 2 bahagian. Sebab dibahagi 4 , jadi pita pengukur perlu dilipat sebanyak 2 kali. Seperti dalam gambar di bawah.


nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Dari ukuran 12  3/4 tadi, pita pengukur dilipat kepada 2 bahagian lagi







nurshuhada-abdullah.blogspot.com
Jawapannya ialah 6  3/8

Akhir sekali cuba lihat berapa ukuran yang telah kita dapat pada pita pengukur. 25  1/2 inci dibahagi dengan 4 jawapannya ialah 6  3/8 inci.

Hari ini entri penuh dengan nombor-nombor.

Saya harap perkongsian ini jelas dan boleh faham. Semoga ia dapat membantu dan bermanfaat. Jika ada terkurang sila betulkan saya ya. Sama-sama berkongsi ilmu.

Jumpa lagi di entri akan datang. Selamat menjahit !.



Bilik Menjahit Idaman

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

www.seasonedhomemaker.com
Bilik menjahit idaman

Bilik menjahit idaman saya.

In shaa Allah.

Sedang mengusahakan impian sendiri untuk memiliki ruang menjahit seperti ini.

Rasa tenang sahaja. Kemas dan teratur. Barang-barang jahitan disimpan dengan elok di tempat yang sesuai. Secara automatik perasaan nak menjahit pun seronok dan idea pun datang mencurah-curah.

Keadaan sekeliling juga mempengaruhi emosi dan pemikiran kita. Tidak perlu sempurna sama seperti di dalam gambar, yang penting selesa ikut kemampuan sendiri.

Ruang pengudaraan dan pencahayaan pun kena cukup. Ini penting. Nanti pengsan pula bila dah menjahit tak berhenti-henti.

Sekarang saya dalam proses mengemas ruang menjahit saya secara perlahan-lahan. Sedang mencari idea nak hias bilik supaya lebih teratur. Bilik menjahit saya agak kecil sahaja. Jadi kena pandai gunakan ruang yang ada sebaik-baiknya.

Entri kali ini saya mahu mencari inspirasi dan idea melalui gambar-gambar yang dikongsikan ini.

Jom, kita cuci mata.

www.seasonedhomemaker.com
Foto 1 : Sangat ringkas tapi menarik. "Less is More".

www.sewchicandunique.com
Foto 2 : Warna merah sangat menonjol. Rasa bersemangat nak menjahit.

www.cnbhomes.com
Foto 3 : Comel !. Pink sangat.

www.bijoulovelydesigns.com
Foto 4 : Luasnya meja. Sangat berguna bila nak menggunting kain atau membuat pola.

www.fynesdesigns.com
Foto 5 : Warna-warni. Cerianya rasa.

www.welcometothemousehouse.com
Foto 6 : Teratur.

Sangat kreatif orang yang menghias bilik menjahit ini.

Apa lagi, boleh mula merancang untuk deko-deko bilik menjahit sendiri pula supaya nampak lebih menarik. Baru semangat nak menjahit. Betul tak?.



Bantal Mini Gantung

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah



Aktiviti tengah hari tadi.

Aktiviti menyelongkar projek-projek lama yang terperap dalam laptop. Entri sebelum ini pun saya ada kongsikan projek kraf saya dulu.

Ini juga antara salah satunya.

Masa mula-mula dulu, ingat nak buat pincushion sebab sayang nak buang kain-kain lebih yang ada. Bila dah gunting, jahit dan akhir sekali nak isikan dengan fiber, tiba-tiba saya tukar fikiran pula. 

Disebabkan saiznya kecil sangat, saya rasa tak sesuai nak jadikan sebagai pincushion. Saiz bantal ini berukuran cuma lebih kurang 2.5 inci x 2.5 inci saja.

Jadi, saya jahitkan lace pada hujung bantal. Akhirnya, jadilah seperti dalam gambar.

Jawabnya digantung jadi hiasan sajalah bantal mini ini.




Jumpa lagi di entri seterusnya. In shaa Allah.

Selamat berhujung minggu dan selamat menjahit !.



Bunga-Bunga Cinta Lace

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah


Bunga-Bunga Cinta Lace

Beberapa hari ini saya telah diserang selsema. Sepanjang hujung minggu dihabiskan dengan berehat sahaja. Selalunya waktu cuti macam inilah saya berpeluang melakukan aktiviti jahit- menjahit ini. Sebab bila dah masuk hari bekerja memang tiada masa.

Sambil duduk berehat membelek-belek laptop, terjumpa pula gambar projek jahitan dan kraf yang saya buat dulu. Setiap kali saya dapat siapkan sesuatu projek itu, saya akan mengambil gambar sebagai rekod dan simpanan.

Ia juga sebagai penyuntik semangat untuk saya menjahit serta berkraf lagi dan lagi tanpa rasa jemu atau letih. Kerana bukan setiap projek yang dibuat terus berjaya. Kadang-kadang kena cuba berkali-kali baru dapat hasil yang memuaskan.

Panjang pula intro saya ya.

Baiklah. Saya nak kongsikan salah satu projek kraf yang saya buat dulu. Saya beri nama "Bunga-bunga cinta" yang dibuat dari lace. Projek suka-suka sebab masa itu banyak sangat koleksi lace saya. Rasa rugi jika tak digunakan jadi terhasillah bunga-bunga ini. 

Bulatan lace di bahagian bawah lebih besar dari atas disebabkan perbezaan panjang lace yang digunakan.

Batu rhinestone digunakan untuk menutup lubang di bahagian tengah. Secara tak langsung jadi penambah seri pada bunga.

Kesemua bahagian dilekatkan menggunakan gam UHU.

Saya menggunakan dua lace yang berlainan corak. Satu lace ukurannya panjang dan satu lagi ukurannya lebih pendek sedikit. Setiap lace ini saya jahitkan dengan jelujur kasar sehingga hujung. Jahitan tidak perlu dimatikan. Kerana setelah dijahit sampai hujung, benang tadi perlu ditarik ataupun lebih senang kata dijerut sampai lace tersebut membentuk satu bulatan.

Lace yang panjang tadi bentuk bulatannya akan lebih besar daripada bulatan lace yang pendek. Selepas itu,  lace yang sudah dibentuk bulat tadi disusun seperti dalam gambar di atas dan dicantumkan menggunakan gam UHU. 

Nanti akan ada lubang di tengah-tengah bulatan tadi, jadi saya gunakan batu rhinestone untuk menutup lubang tersebut. Ia juga menambah seri pada bunga. Boleh juga guna butang dan manik yang besar. Janji boleh menutup lubang tersebut dan nampak cantik pada bunga. Ikut kreativiti masing-masing.

Jika ingin mencuba membuatnya sendiri, taip sahaja 'flower lace tutorial' di Youtube. Banyak tutorial yang akan keluar.

Dijadikan sebagai hiasan pada beg ataupun sebagai sepit rambut ikut kreativiti masing-masing.

Bunga-bunga lace ini boleh dijadikan sebagai hiasan pada beg ataupun penyepit rambut dan pelbagai lagi kegunaannya mengikut kreativiti sendiri.

Selamat menjamu mata dan selamat mencuba.