Pages

Projek Jahitan Skirt A-Line

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Assalamualaikum w.b.t

Orang perempuan bila memakai skirt nampak lebih ayu dan sopan berbanding memakai seluar. Disebabkan itulah terdapat pelbagai lambakan fesyen skirt yang boleh didapati di pasaran sekarang.

Banyak pilihan yang boleh kita lihat dari segi fabrik, panjang skirt, corak dan juga gayanya. Cuma kita sahaja yang perlu pandai memilih untuk disuai padan dengan potongan badan supaya nampak menarik dan yang penting sopan.

Skirt potongan A ataupun dikenali juga sebagai Skirt A-line antara skirt yang menjadi kegemaran saya. Ia dipanggil A-line disebabkan bentuknya seperti huruf A, kembang di bahagian bawah. Sesuai bagi perempuan yang ingin menyembunyikan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya kelihatan.

Skirt A-line ini merupakan projek jahitan hujung minggu saya baru-baru ini. Inilah hasilnya. Hasil ilmu jahitan yang dicedok sana sini sikit. Terima kasih saya ucapkan pada blogger atau otai-otai jahitan yang sudi berkongsi ilmu jahitan mereka.


Saya buatkan poket di bahagian kiri dan kanan skirt. Kemudian, pada bahagian pinggang saya menggunakan bakrum dan getah.

Skirt di atas saya menggunakan zip sorok pada bahagian belakang manakala skirt yang di bawah pula saya gunakan zip biasa. Kebetulan masa menjahit zip sorok sudah habis terpaksalah guna zip biasa. Penggunaan zip sorok nampak lebih kemas dari zip biasa. Kedua-dua skirt ini dari kain jenis cotton.


Sekarang saya sedang sibuk menyiapkan tempahan untuk skirt A-line ini. Jadi kena tumpukan perhatian dan gunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin.

Selamat menjahit !