Pages

Patchwork Pouch Bag. Lagi?

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Nampak tak?. Bila dah mula menjahit tak boleh nak berhenti dah.

Sambungan dari projek semalam. Hari ini jahit patchwork pouch bag lagi. Pun sama juga guna perca-perca kain yang ada. Saya memang tidak ada stok kain yang banyak. Projek suka-suka untuk diri sendiri guna apa yang ada saja. Habiskan hingga ke titisan akhir. Sampai macam itu sekali. Melainkan kalau ada tempahan menjahit baru dibeli kain yang baru.

Sama sahaja pada entri sebelum ini. Cuma yang ini saiznya lebih besar, 9 inci x 11 inci. Dan pouch bag ini ditambahkan lace diantara kain patchwork dan kain di bahagian bawah sebagai hiasan. Ikutkan nak jahitkan juga lace pada kain di bahagian atas. Apabila dilihat balik nampak macam melebih-lebih pula. Biar saja seperti asal.

Hasilnya.





Dua hari cuti, dapat jahit dua beg. Alhamdulillah. Diberi kudrat dan tenaga untuk melakukan perkara yang disukai iaitu menjahit.

Selagi masih ada cuti, selagi itu manfaatkan dengan menjahit. Pulun habis. Hari Isnin, apabila sudah mula bekerja tak boleh fokus macam ini dah.

Esok masih cuti lagi. Masa untuk berehat dan tenang-tenangkan fikiran pula. Selamat berhujung minggu semua.



Patchwork Pouch Bag

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah

Hampir empat bulan rasanya tidak menjahit. Wah! lamanya. Penyakit kemalasan apakah yang telah melanda diriku ini. Jika dibiarkan akan bertambah-tambah melarat jawabnya.

Jadi, hari ini cuti umum sempena Hari Malaysia saya paksakan diri untuk menjahit. Jahitlah apa pun. Supaya tak terbiar jadi perhiasan sahaja mesin jahit itu.

Hari cuti baru tenang sikit menjahit. Boleh tumpukan perhatian sepenuhnya. Kalau tak serabutnya ya ampun. Mana nak fikir pasal kerja lagi, nak fikir mood menjahit pula yang waktu sibuk macam itulah dia datang berkobar-kobar.





Kemain intronya. Dah jahit pun.

Hanya menggunakan perca-perca kain sahaja jadi saya memilih untuk menjahit pouch bag. Tidak perlu menggunakan kuantiti kain yang banyak. Tambahan lagi dengan jahitan patchwork, perca-perca kain tersebut dicantum dapatlah menghasilkan satu corak yang menarik. Gunakan selagi apa yang ada di tangan.

Saiznya 10 inci x 6.5 inci. Macam-macam boleh simpan. Jika mahu digunakan untuk menyimpan telefon, perlu ditambah batting (pelapik) di bahagian dalam beg. Batting mempunyai lapisan yang tebal dan lembut, jadi ia dapat melindungi isi beg tersebut.

Setiap kali menjahit, saya memang gemar meletakkan sekali label handmade atau apa-apa corak label pun, sebab ia nampak comel. Menjadi penyeri pada projek jahitan.

Pada bahagian tepi beg pula dijahitkan sekali penyankut beg. Jika rajin bolehlah gunakan kain untuk dijahit sebagai tali pemegang. Jika agak-agak nak cepat siap, letak saja keychain pun boleh.

Seronok dan teruja apabila melihat ia sudah siap. Tiba-tiba macam nak jahit beg lagi. Nampak tak?. Bila mood rajin dah sampai.