Pages

Tutorial Beg Jerut

Teks: Nurshuhada Abdullah
Foto: Nurshuhada Abdullah


Jom kita menjahit. Selamat mencuba.


Bahan-bahannya:

Peralatan asas menjahit.

Untuk bahagian luar beg
1. 2 keping kain cotton saiz 10 inci (P) x 6 inci (L)
2. 1 keping kain cotton saiz 10 inci (P) x 13 inci (L)

Untuk bahagian dalam beg
3. 1 keping kain cotton saiz 10 inci (P) x 23 inci (L)

4. Riben atau tali ukuran 24.5 inci panjang dipotong dua.

* Sebaik-baiknya kain diseterika dahulu sebelum dipotong.
* Basi jahitan 1/2 inci.
* P-Panjang, L-Lebar


1. Susun kain macam gambar di atas. Bahagian hadapan kedua-dua kain bertemu.

Letak pin dan jahit di bahagian yang bergaris putus-putus (hujung kain).


2. Ulang langkah pertama tadi untuk bahagian hujung kain lagi satu.


3. Seterika pada bahagian yang dijahit cantum tadi supaya cantuman nampak lebih kemas dan rata.


4. Jahit tindih (top stitch) pada tempat yang diseterika tadi.

* Langkah ini pilihan. Nak buat pun boleh, tak buat pun boleh.


5. Kemudian, kain dilipat dua (bahagian hadapan bertemu bahagian hadapan kain) dan pinkan supaya ia tidak bergerak.

Dari bahagian atas kain, ambil ukuran 1.5 inci (x) dan tandakan. Dari tanda tadi, ambil ukuran 1 inci (y) pula dan tandakan. Ulang proses yang sama untuk bahagian tepi satu lagi.

Dah siap ambil ukuran, jahit di bahagian yang bergaris putus-putus (hujung kain). Pastikan bahagian yang ditanda 1 inci (y) tadi tidak dijahit.

Dah jahit, terbalikkan kain. Supaya bahagian hadapan kain berada di luar dan letak tepi.


6. Untuk kain bahagian dalam beg, juga jahit di kedua-dua hujung. Sebelum itu, tinggalkan 3 inci panjang tidak dijahit. Seperti yang ditandakan anak panah.


7. Hasilnya akan jadi macam ini.


8. Ambil bahagian luar beg masukkan ke dalam bahagian dalam beg seperti dalam gambar. Soalannya kira berapa banyak perkataan 'dalam' yang ditulis. Hahaha.


9. Samakan di bahagian hujung dan pinkan. Kemudian jahit di sekelilingnya.

*Terlupa pula nak ambil gambar dah jahit. Garisan putus-putus bermaksud jahit di sekeliling bukaan beg. Bukan jahit tutup terus lubang bukaan beg. Gambar dah macam konfius pula.


10. Lepas itu, tarik keluar lapisan kain melalui bukaan tadi. Tarik sampai habis dan ratakan bucu-bucu kain supaya nampak kemas. Kalau rajin seterika pun boleh.











11. Jahit bukaan kain yang bersaiz 3 inci tadi.






12. Bahagian dalam beg dimasukkan ke dalam. Hasilnya akan jadi macam ini. Kemudian, jahit di sekeliling beg pada garisan putus-putus atas dan bawah (bahagian yang kita telah tanda 1 inci tadi).

* Yang bertanda (x) pula adalah jahitan di sekeliling untuk bahagian atas sekali. Ia pilihan. Nak jahit pun boleh, tak nak jahit pun boleh.


13. Ambil riben atau tali yang telah dipotong dua. Masukkan ke dalam bukaan 1 inci tadi, tarik sekeliling beg sampai ke hujung dan ikat. Ulang proses yang sama untuk bukaan lagi satu.


14. Dah siap pun. Selamat mencuba.